KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara melaungkan amaran awal betapa mereka bertekad untuk muncul juara Piala Asia 2017 selepas membelasah China 7-1 di Stadium Hoki Kebangsaan Maulana Bhashani di Dhaka, Bangladesh, hari ini.
Malaysia menepati ramalan apabila mudah menewaskan pasukan ranking ke-18 dunia itu dengan jaringan pertama Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil menerusi gol padang seawal minit ke-12.
Faizal Saari menggandakan jaringan lima minit kemudian, diikuti Tengku Ahmad Tajuddin sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-19, masing-masing menerusi gol padang.
Skuad ‘Malaysian Tigers’ menambah tekanan terhadap pihak lawan yang berusaha keras untuk menempah slot ke Piala Dunia 2018 di India menerusi kejohanan itu, apabila menambah jaringan keempat sebaik separuh masa kedua bermula iaitu pada minit ke-31 menerusi pukulan sudut penalti Faizal.
Skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu secara berterusan mengasak China dengan menambah dua gol menerusi Muhammad Shahril Saabah (minit ke-35) dan Faizal (minit ke-41) sebelum E Wenhui menjaringkan gol tunggal China pada minit ke-56.
Muhammad Ramadan Rosli melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia pada aksi pertama saingan Kumpulan B itu apabila menjaringkan gol ketujuh pada minit akhir permainan.
Skuad negara akan berdepan pasukan di ranking ke-13 dunia, Korea Selatan pada Ahad ini.
Walaupun sudah layak ke Piala Dunia 2018 di India, Malaysia memburu penamat terbaik di Bangladesh dalam usaha memperbaiki ranking ke-12 dunia, bagi mencari laluan mudah ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Selain Malaysia, pasukan ranking keenam dunia, India dan Pakistan (14) turut layak ke Piala Dunia 2018 manakala tiga pasukan dalam ranking 20 terbaik dunia iaitu Korea Selatan (13), Jepun (17) dan China (18), belum menempah slot tersebut.
Sepanjang sembilan edisi sebelum ini, Malaysia tidak pernah mara ke final Piala Asia dengan pencapaian terbaik hanya meraih tempat ketiga pada edisi 2007 di Chennai, India.
Juara bertahan, Korea Selatan muncul pemenang terbanyak dengan empat kali, diikuti Pakistan (tiga) dan India (dua). – BERNAMA