SINGAPURA – Dua lagi mayat ditemukan dikenal pasti sebagai kru kapal tangki berdaftar di Dominica, JBB DE RONG 19 yang dilaporkan hilang selepas kapal tangki itu berlanggar dengan kapal tangki berdaftar di Indonesia, Kartika Segara di perairan Singapura pada 13 September.
Kru terakhir masih hilang, kata Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam maklumat terkini di sini, hari ini.
MPA berkata mayat pertama ditemukan di selatan Rumah Api Raffles di perairan Singapura pada 16 September dan anggota keluarga kru itu telah menuntut mayatnya.
Mayat kedua ditemukan di 1.9 batu nautika timur laut Tanjung Sengkuang di perairan Indonesia di Batam, pada 17 September dan dalam proses untuk dituntut anggota keluarganya, menurutnya.
Daripada 12 kru JBB DE RONG 19, tujuh berjaya diselamatkan dan empat mayat termasuk dua yang baharu dijumpai itu, telah ditemukan dan dikenal pasti.
MPA berkata pihaknya akan terus mengeluarkan siaran keselamatan kepada kapal-kapal di kawasan itu untuk membantu mengesan kru terakhir yang masih hilang.
Bernama difahamkan mayat seorang warga Malaysia yang merupakan seorang daripada lima kru kapal yang hilang telah dijumpai pada hari kejadian pelanggaran itu.
Empat lagi ialah warganegara China.
Ketika kejadian pelanggaran yang berlaku di kawasan perairan Singapura itu pada kira-kira 12.40 pagi, 12 kru berada atas kapal JBB DE RONG 19. – BERNAMA