KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang berdukacita atas pemergian Datuk Maznah Hamid hari ini menyifatkan Allahyarham semasa hayatnya sebagai seorang srikandi dan pemimpin yang amat dihormati serta disayangi.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata negara telah kehilangan seorang srikandi yang cekal dan gigih dalam membuktikan wanita mampu berjaya dalam pelbagai bidang di pentas dunia.
“Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh setiap insan yang mengenali beliau terutama kami Wanita UMNO kerana keberanian, semangat setia kawan dan aura positif yang sentiasa dibawa dalam dirinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrizat berkata pemergian Allahyarham juga meninggalkan kekosongan yang cukup mendalam dalam jiwa seluruh anggota pergerakan itu.
Katanya, Wanita UMNO menerusi Skuad An-Nur akan mengadakan majlis tahlil dan bacaan surah Yasin di semua 191 parlimen buat Allahyarham.
“Saya mewakili semua anggota Pergerakan Wanita UMNO merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga di atas pemergian Allahyarham,” katanya.
Maznah yang juga Ketua Wanita UMNO Jerlun meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, 6 petang tadi selepas dimasukkan ke wad bagi merawat komplikasi jantung pada 28 Sept lepas.
Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd dan amat dikenali dengan panggilan ‘Iron Lady” dilaporkan menjalani pembedahan jantung selepas dua saluran pada injap jantungnya tersumbat. – BERNAMA