LAS VEGAS – Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan polis belum menemui motif jelas di sebalik pembunuhan beramai-ramai oleh seorang lelaki lima hari lalu.
Ketua Polis Daerah, Kevin McMahill, berkata pasukan penyiasat gagal menemui jawapan walaupun menyiasat lebih 1,000 petunjuk untuk mengetahui punca sebenar serangan oleh pesara berusia 64 tahun itu.
Stephen Paddock melepaskan tembakan rambang dari aras 32 menerusi tingkap bilik hotel dihuninya ke arah 20,000 pengunjung sebuah festival muzik malam Ahad lalu dan membunuh diri sebelum polis sempat menyerbu bilik terbabit.
Selain 58 orang yang terbunuh, serangan turut mencederakan lebih 500 pengunjung, sebahagian besarnya kerana dipijak ketika bertempiaran lari.
Berbeza dengan penyerang lain, Paddock tidak meninggalkan nota bunuh diri atau mesej di media sosial yang menjurus kepada kejadian berkenaan.
“Kami meneliti segenap aspek untuk melihat jika kehidupan peribadi suspek boleh dikaitkan sebagai motif, sebarang pembabitan politik, tingkah laku sosial, kedudukan ekonomi atau sebarang kecenderungan untuk suspek bertindak radikal.
“Kami melihat semua perkara dari awal hingga akhir, dari saat dia dilahirkan sehingga meninggal dunia,” kata McMahill.
Beliau mengakui ada menerima dakwaan militan Daesh bertanggungjawab atas serangan terbabit namun siasatan mendapati Paddock tidak mempunyai pertalian dengan militan berpangkalan di Asia Barat itu. – Reuters