BUKIT MERTAJAM – Dalam suasana kelam-kabut untuk menyelamatkan diri, Nur Shakirah Ishak hanya memejamkan mata apabila melihat mayat bergelimpangan sebaik keluar menerusi pintu belakang bas.
Pada masa sama, dia tercari-cari rakan baiknya yang kebiasannya duduk di belakang pemandu bas tetapi kebetulan beralih tempat untuk duduk di hadapannya, pagi tadi.
“Tak lama kemudian, saya dapat tahu dia dah tiada,” katanya yang gagal menahan sebak ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, hari ini.
Nur Shakirah, 40, adalah antara mangsa yang terselamat dalam nahas dua bas kilang dan sebuah van di Kilometer 147 (KM 147) Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Tol Juru di sini, pagi tadi.
Setakat ini, lapan disahkan terkorban manakala 35 orang cedera.
Nur Shakirah Ishak, 40, yang dalam perjalanan dari Parit Buntar, Perak ke tempat kerja di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Beliau mendakwa sebuah bas kilang rosak dan berasap berhenti di tengah jalan tetapi pemandu bas dinaikinya tidak sempat membrek untuk berhenti lalu merempuh bas terbabit,
Nur Shakira yang cedera di mata kiri dan beberapa bahagian badan, menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSJ. – BH ONLINE