IPOH – Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Omar Mammah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu bagi menggantikan Datuk Zainuddin Yaacob berkuat kuasa hari ini.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Zainuddin, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak Mei lepas, bertukar ke IPK Kuala Lumpur dengan menjawat jawatan yang sama.
Omar, 58, yang mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 28 tahun, pernah menjawat beberapa jawatan antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah dan Timbalan Ketua JSJ Selangor.
Dalam sidang media, Omar berkata beliau yang berasal dari Semporna, Sabah pernah mengetuai siasatan membabitkan Ops Daulat dan beberapa kes jenayah di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Sabah.
Menurut Omar, kehadirannya di kontinjen Perak diharap dapat membantu Ketua Polis Perak memastikan urus tadbir dan operasi kepolisan berjalan sempurna selain memastikan moral, integriti dan disiplin semua pegawai dan anggota di semua bahagian dalam PDRM berada pada tahap yang tinggi dan diyakini masyarakat. – BERNAMA