ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dalam ‘Op Mega’ di dua lokasi berasingan di sekitar Alor Setar, semalam.
Pengarahnya Zuhair Jamaludin berkata operasi yang bermula 11.30 malam hingga 2.45 pagi itu melibatkan pemeriksaan di tapak pembinaan dan rumah kongsi di Jalan Suka Menanti dan Bandar Alor Merah, di sini.
“Pemeriksaan telah dijalankan terhadap 80 PATI pelbagai warganegara dan daripada jumlah itu 13 lelaki dan tiga wanita Indonesia, 14 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar berumur antara 19 dan 50 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya kesemua mereka ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.
Zuhair berkata kesemua mereka ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA