KUALA LUMPUR – Panggung Bangsawan Melaka bakal menjadi produk tarikan pelancong terbaru negeri itu menerusi pelbagai penganjuran acaran kesenian dan kebudayaan menjelang 2018.
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Ab Rahman Ismail berkata pihaknya merancang untuk mengadakan pementasan secara berjadual dalam usaha menjadikannya sebagai pusat seni muzik dan intelektual berprestij tinggi.
Beliau berkata pihaknya optimis untuk menjadikan panggung itu setaraf pusat pementasan luar negara seperti Royal Albert Hall; London, Sydney Opera House; Australia dan Broadway Theatre New York; Amerika Syarikat.
“Kami mempunyai kesenian yang unik serta menarik seperti dondang sayang, tarian Portugis dan pertunjukan budaya Baba Nyonya yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Sekali gus ini dapat memperkenalkan kepelbagaian budaya di negeri ini kepada pelancong luar yang dilihat menggemarinya,” katanya kepada Bernama selepas majlis pratonton teater ‘Tun Fatimah’ di Istana Budaya di sini hari ini.
Ab Rahman berkata pementasan teater yang akan diadakan di Panggung Bangsawan Melaka selama dua hari bermula 21 Okt merupakan kolaborasi kali keempat pihaknya bersama Istana Budaya.
Katanya pementasan yang mengetengahkan nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Maya Karin yang memegang watak utama sebagai Tun Fatimah dan Remy Ishak sebagai Sultan Melaka itu dijangka dapat menarik audiens memenuhi panggung.
“Setakat ini jualan tiket amat memberangsangkan dengan 60 peratus telah terjual dan kami optimis ia akan habis dijual menjelang hari pementasan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi,” katanya.
Tiket bagi Pementasan Teater Tun Fatimah yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob yang ke-79 itu dijual pada harga bermula RM50 hingga RM150. – BERNAMA