KOTA KINABALU – Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) menyambut baik gesaan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid agar murid sekolah rendah tidak dibebani dengan penggunaan buku kerja dan latihan.
Naib presidennya, Luis Lidong berkata ini kerana ramai murid terutama yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar di Sabah terpaksa berjalan kaki berulang alik beberapa kilometer ke sekolah setiap hari.
“Ada kalangan mereka yang membawa buku teks, buku kerja dan latihan yang agak berat dan tentu sekali ia memenatkan dan membebankan.
“Sebab itu Pekadin menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan berhubung perkara ini kerana ia boleh meringankan beban murid,” katanya kepada Bernama hari ini.
Luis berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahdzir semalam yang menegaskan bahawa buku teks yang disediakan Kementerian Pendidikan untuk pembelajaran murid sudah memadai.
Mahdzir berkata ini kerana selain buku teks, murid kini turut dibebani dengan penggunaan seperti buku kerja dan buku latihan yang terpaksa juga dibeli dari luar.
Mahdzir juga dipetik sebagai berkata, bahawa dalam usia antara tujuh hingga 12 tahun, murid perlu diberi peluang untuk merasai keseronokan alam persekolahan dan tidak terlalu diberi penekanan akademik semata-mata.
Justeru, Luis berharap pihak-pihak berkaitan dapat mematuhi pekeliling mengenai penggunaan buku kerja di sekolah rendah itu demi kebaikan bersama. – BERNAMA