MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka hari ini menggesa pemaju projek Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd untuk mempergiatkan lagi usaha pembangunan mengikut perancangan asal berikutan hanya 40 peratus projek itu siap sejak dimulakan hampir lapan tahun lepas.
Malah, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata pihaknya juga tidak teragak-agak memgambil tindakan tegas termasuk menukar pemaju sekiranya ia terbukti gagal melaksanakan projek tersebut mengikut fasa ditetapkan.
Beliau berkata, perkembangan yang tidak memberangsangkan itu bukan setakat memberi kesan kepada ekonomi kerajaan negeri dalam kalangan pelabur tempatan dan asing tetapi turut menjejaskan imej Melaka sebagai negeri pelancongan.
“Saya harapkan KAJ Development akan mempertingkatkan lagi tindakan mereka untuk mencari seberapa ramai pelabur untuk membangunkan segera kawasan Melaka Gateway dan menjalankan kerja-kerja secara intensif bagi menyempurnakan segala perancangan yang telah kita tetapkan.
“Sehingga kini kita hanya dapat melihat kerja penambakan tanah yang sepatutnya selesai 100 peratus tapi hanya 40 peratus (siap) atau melibatkan keluasan 85.4 hektar.
“Saya ingin ingatkan pihak pemaju bahawa projek ini perlu diberi perhatian segera kerana kita telah hampir lapan tahun menandatangani perjanjian pertama. Memang ada kemajuan (yang dicatatkan) tetapi ia dilihat ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) komponen lain projek antara KAJ Development dengan Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Roslan Ibrahim.
MoU berkenaan ditandatangani Idris dan Naim bagi pihak kerajaan negeri manakala KAJ Development diwakili Pengerusinya Datuk Yahya Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Michelle Ong.
Perjanjian hari ini melibatkan komponen lain pembangunan Melaka Gateway iaitu terminal penumpang kapal persiaran antarabangsa yang perlu dibangunkan dalam masa tiga tahun ini.
Pembangunan Melaka Gateway yang melibatkan kawasan seluas 1504.9 hektar itu merupakan projek inisiatif swasta merangkumi pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan serta diiktiraf projek nasional Bidang Ekonomi Utama Negara.
Antara cadangan pembangunan selain terminal penumpang kapal persiaran antarabangsa di Pulau Melaka East 1 adalah bandar komersial di Pulau Melaka East 2, terminal pukal cecair di Pulau Melaka East 3 dan terminal pelbagai guna, termasuk kontena serta taman industri maritim di Pulau Melaka East 4. – BERNAMA