SANDAKAN – Jabatan Hidupan Liar Sandakan menahan seorang wanita Filipina yang dipercayai membeli telur penyu dijual secara haram dalam satu operasi di kawasan Jalan Prayer, bandar Sandakan hari ini.
Pegawai Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata wanita berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 pagi dan pemeriksaan ke atasnya menemukan 27 biji telur penyu yang dipercayai baru dibeli.
Memiliki telur penyu adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (Memiliki Hasil Haiwan Yang Dilindungi), katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurutnya operasi itu dijalankan bersama anggota Pasukan Polis Marin dan Unit Penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan dengan tumpuan menangkap penjual dan pembeli telur penyu.
Beliau berkata dalam operasi tersebut sebanyak 168 biji telur penyu turut dirampas, dipercayai ditinggalkan oleh penjual telur penyu haram selepas menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan dan penguat kuasa. – BERNAMA