KOTA BELUD – Sebanyak 65 rumah yang dihuni 371 penduduk yang terjejas banjir di Kampung Kota Bungan di sini bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila terpaksa menghabiskan masa beberapa hari untuk membersihkan rumah masing-masing yang musnah akibat banjir baru-baru ini.
Kampung Kota Bungan yang terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Kota Belud itu adalah kampung yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda daerah itu.
Ketua Kampung Kota Bungan Mahak Epak, 63, berkata banjir yang melanda kampung itu sejak 18 Okt lepas adalah yang pertama kali melanda kampung berkenaan sejak 1963.
“Kampung ini telah dilanda banjir pada 1963 dan sejak itu kampung ini tidak lagi pernah dilanda banjir walaupun ada kampung lain di daerah ini sering kali dinaiki air sejak beberapa tahun lepas.
“Namun kita tidak menyangkakan banjir itu telah melanda kampung kami pada kali ini dan semua 65 rumah telah dinaiki air…sebahagian daripada rumah di kampung terjejas teruk sehingga tiada barangan yang tinggal,” katanya.
Mahak berkata pihaknya akan mengadakan gotong royong dalam masa terdekat untuk membantu penduduk yang terjejas teruk, selain membersihkan kawasan kampung yang dipenuhi sampah sarap akibat banjir.
Tinjauan Bernama di kampung berkenaan menyaksikan penduduk sedang sibuk membersihkan rumah masing-masing selepas dibenarkan dari pusat pemindahan sementara secara berperingkat sehingga semalam apabila banjir semakin pulih.
Terdapat juga penduduk yang menetap sementara di rumah saudara mara disebabkan rumah terjejas teruk dan segala kelengkapan musnah dan hilang dihanyutkan banjir.
“Saya bersama isteri dan dua orang anak terpaksa memulakan hidup baharu selepas barangan keperluan harian di rumah rosak dan musnah.
“Semua barangan elektrik serta pakaian kami lenyap dihanyutkan banjir. Hanya beberapa dokumen yang sempat saya selamatkan dan saya mengalami kerugian kira-kira RM12,000,” kata Joehiree Yacub, 28, antara penduduk yang terjejas teruk akibat banjir di kampung berkenaan.
Menceritakan detik banjir itu, Joehiree berkata ketika itu beliau, isteri dan anak-anak berada di rumah dan air mula naik kira-kira pukul 11 malam, 20 Okt lepas.
“Air naik dengan cepat dan saya hanya berfikir untuk mengambil dokumen penting dan segera membawa isteri dan anak ke tempat yang selamat, sebelum dibawah oleh pasukan penyelamat ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi 1 pada malam itu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang terjejas teruk, Mazlina Abdul Magid, 39, berkata semua barang keperluan harian termasuk pakaian dan beberapa dokumen penting musnah akibat banjir itu.
“Ketika kejadian kira-kira pukul 2 pagi 21 Okt lepas saya, suami dan tujuh orang anak saya berada di rumah dan sedang berjaga kerana sejak beberapa jam sebelum itu air mula naik.
“Pada masa itu air tiba-tiba naik dengan cepat sehingga saya dan suami tidak sempat mengambil beberapa dokumen penting termasuk geran tanah. Kami hanya memikirkan tentang keselamatan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata kini mereka bagaikan sehelai sepinggang apabila semua keperluan harian termasuk buku, pakaian peralatan elektrik musnah.
“Saya tidak menyangka kampung kami akan dilanda banjir kerana sudah lebih 15 tahun kami tinggal di sini dan ini adalah kejadian pertama,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM15,000.
Rata-rata penduduk yang ditemui Bernama di kampung berkenaan berharap akan menerima apa sahaja bantuan daripada pihak kerajaan untuk meringankan beben mereka.
Keadaan banjir di Kota Belud telah pulih sepenuhnya dan semua pusat pemindahan ditutup petang semalam, sekali gus kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Banjir yang menyebabkan lapan pusat pemindahan banjir dibuka di Kota Belud sejak 20 Okt lepas telah ditutup secara berperingkat apabila banjir beransur pulih. – BERNAMA