SEMATAN – Walaupun Projek Lebuh Raya Pan Borneo Jajaran Telok Melano-Sematan masih dalam peringkat pembinaan, namun rakyat terutama di Kampung Telok Melano sudah mula merasai tempias kebaikannya.
Jajaran Telok Melano-Sematan sepanjang lebih 30 kilometer telah berupaya menghubungkan kampong ini yang terletak pada titik paling ke barat di kepulauan Borneo dengan dunia luar untuk sampai ke Sematan.
Namun oleh kerana ia masih dalam peringkat pembinaan, penggunaannya perlu mendapatkan kebenaran pihak Lebuhraya Borneo Utara (LBU) terlebih dahulu.
Menurut Dewi Atek, 53, pelancong ke kampongnya semakin bertambah sejak laluan itu mula dibuka beberapa bulan lalu, walaupun penggunaannya masih terhad dengan bergantung kepada keadaan.
“Sangat bersyukur dengan ada kemudahan jalan raya ini, jumlah pelancong dari dalam dan luar negara semakin bertambah banyak walaupun jalan darat ini belum siap lagi.
“Saya sendiri pernah juga gunakan laluan ini untuk ke Sematan bagi mendapatkan barangan keperluan,” katanya yang membantu adiknya mengusahakan projek inap desa.
Terdapat kira-kira 15 pengusaha inap desa di Teluk Melano.
Dewi berkata Telok Melano yang memiliki panorama laut yang cantik dengan airnya yang kebiruan, pantainya indah menawan dan lautnya yang bersih yang menyimpan pelbagai jenis ikan, sering kali menjadi pilihan pelancong berkunjung terutama dari luar negara.
Beliau berkata sebelum ini kampungnya hanya dapat dihubung menerusi jalan laut yang sekali gus meningkatkan kos perjalanan pelancong untuk datang.
“Perjalanan akan menjadi bertambah sukar jika berlaku ombak besar, angin kuat dan hujan lebat. Maka kemudahan jalan raya yang bakal siap ini sudah tentu akan membawa seribu rahmat kepada kami,” katanya kepada Bernama.
Bagi Hasnat Mat, 75, kehadiran pelancong memberi peluang baik untuknya menjual produk seperti minyak buah pala, maajun serta ubat periuk.
“Meningkat juga hasil jualan berikutan kehadiran pelancongan yang bertambah ramai,” katanya.
Seorang petani Amezan Abdul Hassan, 42, berkata penduduk Telok Melano ketika ini terpaksa menempuh antara lapan hingga 10 jam perjalanan untuk ke Sematan pada masa tengkujuh.
Dengan adanya jalan raya, ia akan memudahkan perjalanan mereka, katanya.
Selain projek jalan raya, kampung ini turut memiliki kemudahan telekomunikasi.
“Sekarang semua sudah ada, talian telefon sudah semakin baik, Internet pun laju sebab kampung kami sudah ada liputan 4G.
“Dulu kalau nak pakai telefon bimbit, terpaksa pusing satu kampung cari liputan terbaik. Kalau tidak dapat, terpaksa ke Telok Serabang untuk buat panggilan,” kata Amezan.
Semasa berkunjung ke Kampung Telok Melano beberapa tahun lalu, penulis mendapati ketika itu belum terdapat sebarang jaringan telekomunikasi dan penulis perlu pergi ke Telok Serabang yang mengambil masa kira-kira 15 minit perjalanan untuk membuat panggilan telefon.
Kini terdapat dua menara telekomunikasi.
Rumah Api Tanjong Datu yang diberi poskod khas 94111 yang disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dengan tema ‘Where Borneo Begins’ baru-baru ini mendekatkan lagi Kampung Telok Melano dengan dunia luar. – BERNAMA