KUALA LUMPUR – Seorang peniaga ayam goreng dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi sebuah motosikal, Sabtu lepas.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Azli Mohamad Nor, 29, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 Okt lepas.
Mohamad Azli dituduh menyimpan harta curi sebuah motosikal Yamaha milik seorang lelaki Wan Zawadi Wan Yahya ,42, di tempat letak motosikal Blok B PPR Taman Mulia, Cheras pada 11 malam, 14 Okt lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…