MANILA – Seorang peninju Filipina yang pernah terbabit dengan skandal imbasan kepala palsu meninggal dunia selepas menerima pukulan ‘knock out’ dalam satu pertandingan, kata pegawai sukan semalam.
Ketua bahagian tinju di Lembaga Hiburan dan Permainan, Dioscoro Bautista berkata, Jeffrey Claro koma sebelum meninggal dunia di pusingan kedua dalam perlawanan Jumaat lalu.
Seramai 150 peninju termasuk Claro, 20, diharamkan daripada bertanding pada Ogos lalu selepas memalsukan keputusan imbasan otak bagi mengesan kecederaan serius di kepala.
Mereka menyerahkan keputusan imbasan CT palsu kerana tidak mampu membayar kos untuk membuat ujian berkenaan.
Lembaga itu berkata, Claro dibenarkan bertanding pada November lalu selepas mengemukakan imbasan CT baru bertarikh 7 September lalu.
Ketua perubatan lembaga berkenaan, Radentor Viernes memberitahu, keputusan imbasan CT itu adalah asli dan mendapati Claro tidak mempunyai sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, imbasan dibuat ketika Claro koma menunjukkan dia mengalami kecederaan otak baru kemungkinan ketika pertandingan itu dan kecederaan lama yang berlaku selepas 7 September.
“Gabungan dua kecederaan itu mungkin menjadi punca kematian Claro,” katanya. – AFP/myMetro Online