KUALA LUMPUR – Gara-gara mencederakan teman lelaki adiknya menggunakan topi keledar, seorang penjual buah didenda maksimum RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.
Majistret Haslinda A.Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas S.Prakashrao, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap T.Lingeaswaran, 27, di Jalan A, Kampung Tasek Permai, di sini pada 8 malam 12 Oktober lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa dan secara tiba-tiba tanpa diketahui punca tertuduh telah memukul mangsa di kepala menggunakan topi keledar.
Prakashrao yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda namun Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama. – BERNAMA