KUALA LUMPUR – Usahawan tempatan perlu memenuhi tiga ciri iaitu kualiti, pembungkusan dan jaminan bekalan berterusan sebagai syarat untuk produk mereka dipasarkan di pasar raya besar seluruh negara.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi mencapai sasaran 30 peratus produk tempatan dijual di pasar raya besar.
Beliau berkata ketika ini hanya kira-kira 15 peratus produk tempatan dijual di pasar raya besar seperti Mydin dan Giant.
“Setakat ini belum capai sasaran 30 peratus itu. Alasannya mungkin kerana dari segi kualiti dan tidak memenuhi syarat.
“Kita akan buat saringan dahulu, terutama dari segi pembungkusan di samping syarat lain yang saya telah sebutkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Jaringan Industri Bersama Usahawan Desa bersempena Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Ismail Sabri berkata langkah tersebut diharap mampu mengubah persepsi masyarakat bahawa produk tempatan juga mampu bersaing dengan produk antarabangsa.
“Madu lebah misalnya yang kebanyakannya diimport dari Australia, bagi saya produk madu lebah kita jauh lebih baik dan lebih segar daripada produk madu lebah Australia,” katanya.
Sejumlah 732 gerai yang sebahagian besarnya melibatkan usahawan, menyertai KUD 2017 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di PWTC.
Karnival anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu menyaksikan 691 gerai usahawan, 30 gerai syarikat swasta dan agensi kerajaan serta 11 gerai KKLW dan agensinya.
Menggunakan slogan ‘Usahawan Desa Produk Global’ dan hashtag #supportlocal, KUD 2017 menawarkan jualan produk usahawan yang terbahagi kepada enam kluster iaitu makanan dan minuman, produk pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, ICT dan Kreatif serta perkhidmatan dan pelancongan. – BERNAMA