LANGKAWI – Peruntukan RM3 billion yang diumumkan di bawah Bajet 2018 untuk mempergiat industri pelancongan negara diyakini mampu mendorong pemain-pemain industri itu untuk meningkatkan lagi perkhidmatan dan produk mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Zainudin Kadir berkata pemain-pemain industri pelancongan bertaraf kecil dan sederhana sudah boleh mengorak langkah untuk menaikkan lagi taraf operasi mereka menerusi suntikan dana terbaharu ini.
“(Peruntukan) ini merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan oleh pemain-pemain industri pelancongan tempatan, khususnya di Langkawi yang rata-ratanya masih lagi di peringkat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya kepada Bernama.
Semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata daripada RM3 bilion yang diperuntukkan untuk sektor pelancongan, RM2 bilion diletakkan di bawah Tabung Pelancongan PKS manakala baki di bawah Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan.
Zainudin berkata peruntukan untuk pembangunan infrastruktur pelancongan itu pula akan menggalakkan pelaburan dalam pembinaan kemudahan penginapan untuk pelancong, khususnya di Langkawi.
“Saya meminta pemain-pemain industri tempatan yang memiliki tanah di Langkawi untuk mengambil peluang memanfaatkan aset mereka itu dengan membangunkan hotel atau penginapan yang berkualiti menggunakan dana yang disediakan kerajaan ini,” katanya.
Beliau turut meminta kerajaan meletakkan Langkawi dalam radar perancangan negara ke arah menjadi tuan rumah acara-acara besar seperti Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT) dan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang akan datang.
Katanya selain menjadi hos Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang diadakan setiap dua tahun sejak 1990-an, Langkawi sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah untuk acara antarabangsa lain jika diberikan penghormatan oleh kerajaan.
“Langkawi mempunyai pengalaman. Kita pernah menjadi tuan rumah CHOGM dan dengan adanya kemudahan yang semakin banyak, kita bersedia untuk menjadi tuan rumah lagi untuk acara ini dan acara-acara antarabangsa yang lain,” katanya. – BERNAMA