KUALA LUMPUR – Pesakit buah pinggang terutamanya di kawasan pedalaman digalak melakukan sendiri rawatan dialisis atau mencuci buah pinggang di rumah, bagi mengelak kerap berulang ke pusat dialisis atau hospital.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kaedah rawatan dialisis di rumah atau “continuous ambulatory peritoneal dialysis” (CAPD) itu bukan sahaja memudahkan urusan rawatan tetapi juga mengurangkan kos pesakit.
Beliau berkata pesakit perlu melakukan CAPD selama setengah jam, empat kali sehari di rumah serta memerlukan pesakit ke hospital dua bulan sekali untuk pemeriksaan doktor, berbanding ke hospital setiap minggu untuk rawatan.
“Para pesakit akan dilatih untuk melakukannya sendiri dengan mematuhi aspek kebersihan secara teliti. Kaedah ini juga lebih murah berbanding di hospital yang mencecah RM200 sekali rawatan,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Hilmi menjawab soalan Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin) berhubung masalah kekurangan tempat dialisis di hospital dan klinik-klinik kerajaan dengan penambahan jumlah pesakit dialisis terutamanya di kawasan luar bandar.
Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata dengan melakukan CAPD, ia dapat menjimatkan kos rawatan setiap tahun kepada RM25,000 bagi seorang pesakit berbanding RM40,000 bagi rawatan di pusat dialisis.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan terus mewujudkan lebih banyak pusat dialisis di seluruh negara bagi menampung peningkatan jumlah pesakit buah pinggang setiap tahun.
Katanya bagi menggalakkan lebih banyak pihak swasta menubuhkan pusat dialisis di negara ini, kerajaan turut memperuntukkan dana secara sekali gus berjumlah RM20 juta untuk tujuan berkenaan. – BERNAMA