KOTA KINABALU – Seramai 70 pesara guru lepasan Maktab Perguruan Gaya (MPG) atau kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya dari seluruh negara akan melawat beberapa lokasi tumpuan pelancong di Ranau termasuk Desa Cattle pada Sabtu ini.
Lawatan ke Desa Cattle di Kundasang dan Ladang Sabah Tea di Ranau dan beberapa lagi lokasi menarik di daerah tanah tinggi itu diadakan sempena program Temu Semula pesara guru lepasan MPG sesi 1975/76 dan Sesi 1976/77 bermula hari ini hingga 15 Okt.
“Objektif utama kunjungan ke Kundasang dan Ranau ialah untuk mengimbau kembali kenangan semasa bertugas di Sabah yang mana Kundasang dan Ranau merupakan tempat percutian yang mereka kunjungi dengan membawa keluarga dan murid.
“Di samping itu, pesara guru ini juga akan dapat melihat perkembangan sektor pertanian sayur-sayuran di Sabah selain menjadikan Kundasang sebagai tempat beramah mesra,” kata jurucakap penganjur Temu Semula itu, Shamiun Salleh.
Menurut Shamiun, pesara guru berkenaan akan melawat IPG Gaya esok yang antara lain untuk melihat perkembangan terkini latihan perguruan di institut itu selain melawat bilik kuliah serta asrama yang mereka pernah duduki dahulu.
Katanya tetamu kehormat Temu Semula berkenaan ialah Datuk Rita Bagong serta turut disertai lepasan MPG Datuk Jame Alip bekas Pengarah Pendidikan Sabah dan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Ismail Ibrahim. – BERNAMA