KUALA LUMPUR – Pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee telah diundi berada dalam Kumpulan C bersama-sama Arab Saudi, Jordan dan Iraq bagi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 dari 9 hingga 27 Jan 2018 di Changzhou, China.
Juara bertahan, Jepun berada dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Utara, Thailand dan Palestin, manakala tuan rumah China di Kumpulan A yang turut diisi Qatar, Uzbekistan dan Oman.
Kumpulan D dianggotai Korea Selatan, Australia, Syria dan Vietnam.
Kim Swee yang ditemui selepas majlis undian tersebut di sini, hari ini berkata, pihaknya menyedari walau kumpulan mana pun Malaysia diletakkan, pastinya ia bukan satu tugasan mudah kerana melibatkan seluruh pasukan terbaik di rantau Asia.
“Sebelum undian lagi, kami sedar ia tugasan yang cukup mencabar dan apabila kami berada di Kumpulan C bersama pasukan berkenaan, saya percaya ia adalah satu pengalaman yang cukup berharga buat semua pemain.
“Dalam masa yang sama, kami akan cuba melangkah ke peringkat seterusnya di mana seperti selalu saya katakan, jurang kekuatan bagi peringkat umur B-23 tidak begitu ketara,” katanya.
Malaysia mengesahkan tiket ke pusingan akhir kejohanan tersebut selepas muncul juara Kumpulan H pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Bangkok, Thailand, Julai lepas.
Malaysia menamatkan kempen kelayakan dengan mengungguli kumpulan tersebut dengan enam mata diikuti Thailand dengan lima mata, Indonesia (empat) dan satu mata oleh Mongolia selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Juara daripada 10 kumpulan yang bersaing dalam kejohanan itu layak secara automatik ke pusingan final bersama lima pasukan naib juara terbaik serta tuan rumah China pada pusingan akhir yang menampilkan 16 pasukan. – BERNAMA