KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2017 (MAVCOM) antara lain bertujuan memberi kuasa kepada suruhanjaya itu mengenakan penalti kewangan serta memungut caj ke atas penumpang di lapangan terbang bagi perkhidmatan pengawal seliaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua berkata MAVCOM bercadang mengenakan caj pengawal seliaan terhadap penumpang di setiap lapangan terbang pada harga maksimum RM1 bagi memastikan aspek ekonomi, dan keselamatan pengguna dipenuhi oleh penyediaan perkhidmatan penerbangan.
“Caj itu wajar dikenakan terhadap penumpang sebagai sebahagian perkhidmatan yang diberikan MAVCOM kepada penumpang yang meliputi pengurusan dan pengendalian aduan selain aktiviti-aktiviti pendidikan yang diadakan dari semasa ke semasa,’’ katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ab Aziz berkata, kajian mengenai caj pengawal seliaan itu telah dilaksanakan di luar negara seperti di Singapura yang mengenakan caj sebanyak S$6.10 (RM18.91) atau S$3.10 (RM9.61) masing-masing di Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Seletar manakala di Hong Kong sebanyak HK$120 (RM65.83).
Katanya pelaksanaan pungutan caj pengawal seliaan akan dikutip melalui syarikat penerbangan di mana caj tersebut akan terangkum dalam tiket penerbangan.
Abd Aziz berkata selain itu, pindaan RUU itu juga bagi membolehkan MAVCOM mengeluarkan garis panduan, pekeliling, arahan, nota amalan atau notis bagi memudahkan amalan terbaik dalam jangka masa yang lebih singkat.
“Di samping itu, pindaan itu membolehkan MAVCOM mengenakan penalti kewangan bagi apa-apa ketidakpatuhan terhadap mana-mana garis panduan, pekeliling, arahan, nota amalan atau notis yang dikeluarkan oleh MAVCOM di bawah peruntukan baharu yang dicadangkan,” katanya. – BERNAMA