SINGAPURA – Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata beliau sudah bersedia untuk melepaskan jawatan dan bakal penggantinya “besar kemungkinan” sudahpun berkhidmat dalam Kabinet.
“Saya sudah bersedia,” katanya sebagai respons kepada soalan diajukan dalam wawancara bersama stesen CNBC semalam tentang sama ada beliau sudah bersedia untuk melepaskan jawatannya dalam tempoh beberapa tahun.
“Apa yang saya perlu pastikan adalah sudah ada seseorang untuk mengambil alih kepimpinan daripada saya,” kata pemimpin republik itu yang kini berusia 65 tahun dan menjadi ketua kerajaan sejak 2004 daripada Goh Chok Tong.
Beliau beberapa kali menekankan perlunya tampuk kepimpinan dapat ambil alih tugas menerajui negara, sambil berkata penggantinya mesti sudah bersedia galas tanggungjawab sejurus selepas pilihan raya umum seterusnya.
Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada tahun lalu, Hsien Loong hampir rebah di pentas masa menyampaikan ucapan dalam Bahasa Inggeris dan ini membawa tumpuan spekulasi kepada tampuk kepimpinan yang seterusnya.
Dalam wawancara bersama CNBC, yang membincangkan pelbagai isu berat mengenai Singapura, Hsien Loong memberi bayangan bahawa besar kemungkinan pemimpin republik itu yang seterusnya sudahpun ada ketika ini.
“Saya rasa besar kemungkinan beliau sudah ada dalam Kabinet. Tetapi yang mana satu? Itu memerlukan masa untuk dipastikan.” Wawancara itu diadakan menjelang lawatan kerja beliau ke Amerika Syarikat (AS).
Hsien Loong akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump pada 23 Oktober di Rumah Putih ketika lawatan rasmi dari 22 Oktober hingga 26 Oktober atas undangan pemimpin kuasa besar dunia tersebut.
Wawancara bersama CNBC juga diadakan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang berangsur pulih, dengan Hasil Dalam Negeri Kasar Singapura mencatat pertumbuhan 4.6 peratus dari tahun ke tahun pada suku ketiga.
Ini adalah rentak pertumbuhan paling kukuh sejak suku pertama 2014 malah lebih tinggi berbanding pertumbuhan 2.9 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua. Unjuran rasmi bagi tahun ini adalah dua hingga tiga peratus.
Pada masa akan datang, kata Hsien Loong, pemerintah Singapura mahu terus mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak dua hingga tiga peratus setiap tahun bagi tempoh 10 hingga 15 tahun mendatang.
“Pertumbuhan dua hingga tiga peratus itu adalah piawai negara-negara maju, ia satu peringkat yang penting. Jika kita boleh melakukannya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun (akan datang), maka perubahan besar boleh dilakukan.
“Ini juga (ke atas) mutu serta taraf kehidupan penduduk.” Beliau juga melahirkan harapan supaya Singapura “kekal di atas”, sambil menambah ia boleh dilakukan dengan sentiasa mengikuti perkembangan dan perubahan semasa.
Beliau turut menyentuh tentang pentingnya program SkillsFuture untuk melengkapkan rakyat Singapura dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan sedang negara ini beralih kepada sebuah ekonomi yang dipacu inovasi.
“Kami berdepan cabaran sama dengan negara maju lain, iaitu perubahan pesat, yang mengganggu, memerlukan kita untuk mahir dalam teknologi baru dan perlu tahu bagaimana untuk melakukannya bersama-sama dengan mereka.
“Ini bukan sekadar yang sudahpun ada dalam pasaran tenaga kerja sekarang, malah yang dalam lingkungan usia pertengahan dan bukan setakat golongan muda yang masih lagi bersekolah,” kata Hsien Loong.
Satu lagi perkata penting adalah untuk menggalak industri dan pelbagai sektor untuk mempercepatkan proses perubahan itu serta menanganinya Ini dilakukan menerusi Program Perubahan Industri bernilai S$4.5 bilion.
“Hala tuju pelan itu dibangunkan bagi 23 industri untuk menangani isu serta bantu syarikat memacu inovasi dan daya penghasilan mereka. Anda perlu mengambil pendekatan yang nyata dan ketara untuk menanganinya bersama.
“Setiap industri, syarikat terlibat dan bukan setakat mengambil pendekatan yang terlalu luas, makro, tidak realistik dan bercita-cita tinggi. Anda perlu mengetahui setiap industri – apakah kemahiran yang diperlukan.
“Apakah pasaran yang boleh diekploitasi, apakah perubahan-perubahan yang perlu dilakukan oleh syarikat, bagaimana kita boleh membantu syarikat untuk melaksanakan perubahan-perubahan ini,” kata Hsien Loong.
Menyentuh secara ringkas mengenai bapanya, Lee Kuan Yew, PM Lee berkata dua tahun selepas pemergian mendiang, beliau masih membaca ucapan-ucapan yang pernah disampaikan ayahnya itu dan merinduinya.
“Kami merinduinya, kami sering memikirkannya, kami membaca ucapan-ucapan yang pernah disampaikannya dan kami berkata, ‘Ini masih relevan untuk kita hari ini’. Cara beliau menyampaikannya masih relevan,” katanya.
“Dalam pada itu, kami perlu maju ke hadapan kerana jika setakat meneruskan visi dan apa sudah beliau buat, saya rasa beliau akan kecewa. Jika beliau masih hidup, saya berasa, nasihat akan diberikan ialah “terus maju ke depan”.
“Saya rasa beliau mungkin berkata ‘Jangan pandang ke belakang, ingat apa yang sudah berlalu, fahami bagaimana kita sampai ke sini, tapi pastikan kita terus pandang ke hadapan dan bergerak maju.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA