KUCHING – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sedang mengesan seorang orang kena tuduh (OKT) yang meloloskan diri dari kawalan anggota Cawangan Pengawal Pengiring tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Abang Junaidi Abang Anuar berkata ketika kejadian OKT tersebut Zulkipli Morni, 34, bersama beberapa tahanan lain sedang menunggu kenderaan polis untuk dibawa ke Penjara Puncak Borneo.
“Suspek dipercayai telah lari dari jagaan dengan membuka gari sebelum menuju pagar IPD Kuching. Anggota yang berada d bilik pengawal cuba mengejar suspek, namun suspek telah masuk ke dalam sebuah kereta warna putih jenis Proton Iswara dan terus memecut ke arah jalan besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek memakai baju berwarna maroon dan berseluar jeans biru.
Usaha memburu OKT sedang dijalankan. – BERNAMA