MELAKA – Polis Melaka meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penipuan penjualan langsir yang menjadi tular di laman sosial sebelum ini agar menyalurkan maklumat bagi mengesan suspek terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Baderulhisham Baharudin berkata pihak polis telah mengesan video berdurasi 34 saat yang menjadi tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya dalam video itu seorang pekerja sebuah kedai jamu telah didatangi oleh seorang individu tidak dikenali yang menyatakan majikannya ada membuat tempahan kain langsir.
“Individu tersebut kemudiannya meminta nombor telefon pekerja kedai tersebut kononnya mahu berurusan terus dengan majikan. Seterusnya individu tersebut menghubungi majikan di hadapan pekerja dan mendakwa telah mendapat persetujuan dari majikan di mana pekerja tersebut diminta untuk membuat bayaran bagi tempahan langsir.
“Pekerja telah menyerahkan wang tersebut mengikut jumlah yang dinyatakan kepada individu tersebut…Setelah penyerahan wang dibuat, pekerja menghubungi majikan dan memaklumkan perkara tersebut tetapi majikan pekerja menafikan ada menerima sebarang panggilan telefon dari individu yang dinyatakan oleh pekerjanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati bahawa terdapat tiga kes penipuan dengan menggunakan modus operandi yang sama telah berlaku di Daerah Alor Gajah yang melibatkan kerugian sebanyak RM970 dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Baderulhisham berkata orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terperdaya dengan orang yang tidak dikenali.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kes penipuan tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – BERNAMA