SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menahan seorang juragan bot dan empat wanita warga Filipina ketika cuba masuk secara haram ke daerah ini di sungai Batu 3 dekat sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Yazib Abdul Aziz berkata juragan bot lelaki yang ditahan berusia 20 tahun, manakala empat wanita itu berusia di antara 14 hingga 38 tahun.
Katanya anggota PPM yang meronda di kawasan itu mengesan sebuah bot laju dan ketika hendak diperiksa, juragan bot itu enggan berhenti dan cuba melarikan diri.
Bot ronda PPM berjaya memintas bot laju itu dan menahan jurugan bot serta empat penumpangnya, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata di dalam beg sandang juragan bot laju itu, polis menjumpai di dalamnya wanga tunai RM350 dan 12,500 Peso disyaki hasil tambang membawa empat wanita warga Filipina itu.
Menurutnya juragan bot itu ditahan dibawah Seksyen 55A(1) Akta Imigresen 1959/1963, manakala empat wanita itu ditahan dibawah Seksyen 5 (2) akta yang sama. – BERNAMA