KULIM – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kini dalam peringkat terakhir proses penyerahan geran hak milik individu kepada semua penduduk di 20 Desa KEDA di seluruh Kedah.
Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA Kamarudin Abd Akib berkata proses itu melibatkan 3,663 geran dengan penyerahan pertama akan dilakukan pada awal 2018 nanti.
“Pihak lembaga pengarah bersetuju menyerahkan geran individu tersebut dan kini proses mengisi dan semakan borang pindah hak milik sedang giat dijalankan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kembara Da’ie 3.0 Ziarah Kasih di KEDA Sungai Buluh di sini hari ini.
Kamarudin berkata, penyerahan geran ini penting agar penduduk tidak merasa bimbang jika ada perkara berbangkit pada masa hadapan berkenaan status rumah yang didiami mereka itu.
Jelasnya setakat ini, lima KEDA iaitu di Desa KEDA Kampung Sadek (Sik), Desa KEDA Kampung Bandar (Baling), Desa KEDA Paya Lipai (Pendang), Desa KEDA Kampung Kledang (Baling) dan Desa KEDA Kampung Telaga Batu (Sik) sudah selesai proses mengisi borang pindah milik tersebut.
“Bagi kos pembayaran proses pindah hak milik tersebut, penduduk hanya perlu membayar sekitar RM200-RM250 sahaja iaitu bagi bayaran cukai hasil tanah dan yuran pindah milik.
“Ini jauh lebih murah berbanding nilai tanah yang bakal dimilik mereka iaitu dengan anggaran RM50,000 hingga RM60,000 bagi keluasan 4,000 kaki persegi,” kata Kamarudin.
Sementara itu, sebanyak lapan rumah di KEDA Sungai Buluh yang siap dibina pada penghujung 2016 masih gagal didiami hingga hari ini berikutan masalah bekalan air.
Beliau berkata bagi penyelesaian jangka pendek, pihaknya akan mengorek dan membina telaga tiub berdasarkan peruntukan RM200,00 yang diterima.
“Kita masih meneliti segala perincian bagi projek telaga itu memandangkan kawasan ini memang mengalami masalah tekanan air rendah yang agak kritikal.
“Sekiranya dibina, ia mampu mengurangkan masalah bekalan air ke atas 107 rumah atau 686 penduduk yang turut berada di sini,” katanya. – BERNAMA