KUALA LUMPUR – Gerakan yakin dapat meraih kembali sokongan pengundi Pulau Pinang sekaligus mencapai keputusan lebih baik pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata ini kerana gerak kerja jentera Gerakan dalam membela dan mengatasi masalah rakyat di peringkat akar umbi menunjukkan respons yang positif.
“Organisasi Gerakan kini lebih teratur dan semakin kuat, sejak PRU13 berakhir sehingga kini kita telah mainkan peranan yang penting di Pulau Pinang terutamanya dalam membawa isu-isu tempatan.
“Saya yakin pengundi akan memberikan peluang kepada parti Gerakan untuk mewakili mereka di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian kepada pemberita sebelum menghadiri jamuan makan malam bersama 163 ketua bahagian Gerakan seluruh negara di sini, hari ini.
Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang pada PRU13.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kegagalan pembangkang menarik ramai penyertaan dalam Perhimpunan ‘Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’, Mah berkata perkara itu sudah dijangka kerana rakyat sudah letih dengan politik kebencian yang dibawa pembangkang.
“Penganjur sasarkan 100,000 peserta tetapi lebih kurang 8,000 sahaja yang hadir. Ini membuktikan rakyat sudah tidak berminat dengan pembangkang,” katanya. – BERNAMA