SELAMA – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak merampas dua lori dan sebuah jengkaut dalam operasi membanteras kegiatan haram mencuri pasir di Sungai Ijok dekat sini pada Selasa dan semalam.
Pengolong Pengarah Tanah dan Galian Perak Kamarul Ariffin Ayob berkata dalam operasi mengejut kira-kira 7.30 malam terbabit, lori dan jengkaut yang dirampas dipercayai digunakan untuk mengaut dan mengangkut pasir dari sebuah tapak pelombongan pasir.
“Setelah pemeriksaan dilakukan pemandu lori cuba memperdaya anggota penguat kuasa dengan menunjukkan doket yang dikeluarkan PTG Kedah.
“Setelah diselidik dan dengan maklumat risikan didapati pemandu lori itu menipu bagi meloloskan diri daripada dikenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kamarul Ariffin berkata modus operandi kegiatan itu adalah dengan menjalankan kerja-kerja tanah selepas waktu bekerja atau sebelum 8 pagi untuk mencuri pasir.
“Waktu operasi yang dibenarkan untuk menjalankan kerja-kerja tanah dan pemindahan bahan batuan adalah dari 8 pagi hingga 6 petang mengikut pekeliling yang telah dikeluarkan,” katanya.
Kamarul Ariffin berkata lori dan jengkaut yang dirampas dibawa ke Pejabat Daerah dan Tanah Selama untuk disita di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara.
“Ini membuktikan kami komited dalam membanteras kegiatan curi pasir yang merugikan kerajaan serta menghakis tohmahan masyarakat yang menyatakan kami tidak bertindak terhadap kegiatan itu,” katanya. – BERNAMA