KUALA LUMPUR – Putera Wales dan Duchess of Cornwall akan melakukan lawatan rasmi yang pertama ke Malaysia, bulan depan, bagi meraikan perkongsian United Kingdom dengan negara ini mengenai keutamaan bersama menjelang Sidang Kemuncak Komanwel pada April 2018.
Lawatan diraja itu adalah sebahagian daripada lawatan ke Malaysia, Singapura dan India bermula dari 30 Oktober hingga 9 November.
Lawatan kedua-dua pasangan diraja itu ke negara-negara Komanwel, atas permintaan kerajaan Britain, akan menyorot tema utama termasuk meraikan komuniti, kepelbagaian budaya dan menggalakkan inovasi perniagaan.
Menurut satu kenyataan daripada Clarence House, Putera Charles dan isterinya Camilla akan memulakan lawatan mereka di Singapura pada 31 Oktober, di mana mereka akan bertemu Presiden yang baharu dipilih, Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong,
Putera Charles dan Camilla kemudian akan berlepas ke Kuala Lumpur pada 3 November, dan acara utama dalam program ini termasuk majlis makan malam gala bagi menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik di antara UK dan Malaysia, yang akan dihadiri orang kenamaan di Malaysia dan juga tokoh penting bidang perniagaan, kesenian, kebudayaan dan media.
“Program ini juga termasuk meraikan Komanwel yang membawa kepada Sidang Kemuncak Komanwel yang akan diadakan di UK pada 2018 dan Malaysia pada 2020.
Di sini, pasangan diraja itu akan melawat Sarawak dan Perak, bagi menyaksikan sendiri usaha-usaha yang dijalankan bagi menggalakkan pemuliharaan hidupan liar dan melindungi kepelbagaian biologi.
“Baginda berdua juga akan bertemu komuniti pribumi yang berlainan di Sarawak. Duchess of Cornwall akan bertemu wakil Purple Lily, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang komited untuk memberi inspirasi dan memperkasakan wanita dan remaja perempuan dengan menyediakan latihan kemahiran hidup dan pendidikan kewangan,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua pasangan diraja itu akan mengakhiri lawatan mereka ke Malaysia di George Town, Pulau Pinang, yang pada asalnya dinamakan Prince of Wales Island, di mana mereka akan berpeluang bertemu penganut pelbagai agama dan masyarakat etnik yang tinggal bersebelahan tapak Warisan Dunia UNESCO dan dan merasai pengalaman warisan kebudayaannya.
Mereka akan mengakhiri lawatan 11 hari ke Asia di India ( 8 November), di mana mereka akan bertemu Perdana Menteri Narendra Modi. – BERNAMA