ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menzahirkan rasa kecewa berhubung pelbagai salah laku membabitkan pelajar sekolah di negeri itu terutamanya ponteng.
Titah baginda walaupun pelbagai program telah dianjurkan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah berkenaan ia dilihat tidak berkesudahan.
“Semasa mengadakan sesi kayuhan (berbasikal ke rumah rakyat), ada rumah yang ada anak tidak ke sekolah dan sebagai pemerintah saya rasa sedih sebab sudah buat macam-macam (inisiatif) namun masih ada pelajar yang tidak ke sekolah.
“Saya amat memandang serius masalah ponteng sekolah, buli dan juga penyalahgunaan daum ketum yang melanda pelajar di negeri ini,” titah baginda pada majlis penyerahan bantuan persekolahan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) di Festival Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis dekat sini, hari ini.
Baginda bertitah langkah-langkah lebih drastik dan bersepadu perlu diambil antaranya memperkasa kerjasama dengan semua pihak termasuk pihak sekolah, ibu bapa dan agensi-agensi berkaitan dalam membantu pembangunan pelajar.
“Jika tidak diurus dengan baik ia akan memberikan masalah yang (lebih) besar kepada negeri dan negara dalam melahirkan generasi yang memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
“Oleh itu, semua pihak terutama pihak pengurusan sekolah, ibu bapa dan penjaga harus memberikan sepenuh perhatian dan membuat perancangan terbaik dan terperinci terhadap pembelajaran dan menangani isu ketidakhadiran pelajar ke sekolah untuk 2018 nanti bermula dari sekarang,” titah baginda.
Sementara itu mengenai sumbangan hari ini, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah lebih RM2.19 juta diperuntukkan bagi Bantuan Zakat Persekolahan MAIPs 2018 untuk diagihkan kepada semua pelajar miskin di negeri itu.
Titah baginda, seramai 5,658 pelajar sekolah rendah dan 5,301 pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri ini akan mendapat bantuan zakat MAIPs bagi membuat persediaan sesi persekolahan 2018.
“Setiap pelajar yang dicadangkan pihak sekolah berdasarkan kriteria asnaf yang ditetapkan MAIPs akan menerima agihan sumbangan sebanyak RM200 setiap seorang.
“Sumbangan ini disalur melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah dan saya berharap ia dapat diagihkan kepada para penerima secepat mungkin sebelum bermulanya cuti sekolah bagi membantu mereka membuat persediaan awal,” titah baginda. – BERNAMA