APABILA peminat berang dengan kedudukan Harimau Malaya sebagai pasukan ke 170 Terbaik Dunia dalam ranking FIFA, timbul anggapan: Peminat tidak rasional!
Malah, lebih mengelirukan apabila isu merosotnya ranking dijawab dengan persoalan, betapa pentingnya Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dikekalkan sebagai orang nombor satu FAM.
Alasannya mudah: 1. FAM banyak hutang. Ada RM49 juta hutang lapuk yang perlu dibayar. 2. Penaja berpotensi menaja antara RM60 juta hingga RM80 juta akan hilang minat kalau TMJ berundur. 3. Pelan pemberian geran kepada pasukan negeri RM3 juga hingga RM7 juta mungkin terjejas.
Semua kehebatan FAM sekarang mesti diterima peminat. FAM ialah isu banyaknya hutang, banyaknya penaja dan banyaknya geran duit. FAM sedang merangka era kuasa wang sebahai elemen tunggal, yang akan menjadikan bola sepak Malaysia berkepuk-kepuk dengan kemewahan.
Setiausaha FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang memulakan langkah bersuara dengan menyifatkan: Peminat mengada-ada dan pengritik Presiden FAM sebagai ‘low class minded’.
Kemudian CEO FMLLP pula mengatur langkah: Isu kemerosotan ranking skuad Harimau Malaya tiada kaitan dengan dakwaan lagenda bola sepak, Datuk Jamal Nasir.
Jamal Nasir memberikan komen, bahawa polisi skuad JDT memonopoli pemain tempatan dan kemudian hanya menjadikan mereka pemanas bangku simpanan, antara punca utama persembahan tidak kompetitif pasukan kebangsaan.
Kata Kevin: Dakwaan itu tidak tepat!
Semalam, Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin turut menegur dengan turut mengemukakan bukti berasas menyokong pandangan Jamal Nasir.
Nama-nama utama dalam skuad Sukan SEA 2011 seperti Mahali Jasuli, Fandi Othman dan Amir Saidin, kata Sulaiman: Tenggelam apabila bersama skuad JDT.
Malah, Sulaiman turut memberikan tips: “Skuad Harimau Selatan itu berlapang dada menerima teguran mengenai sistem pengurusan pemain di kelab terbabit.
“Sebenarnya, apabila ramai pemain muda yang suatu ketika dulu dianggap pelapis menggantikan pemain senior, apabila diambil JDT, jarang beraksi di kelab mereka.
“Kalau ikutkan mereka ini (skuad Sukan SEA 2011) bagus dan boleh pergi jauh, cuma apabila jarang beraksi maka susah untuk mengekalkan prestasi di tahap terbaik,” kata Sulaiman.
Awas Sulaiman. Dalam bola sepak nasional pada era Orde Baharu ini, banyak komen yang tidak sebulu akan dianggap musuh. Jadi kita tengok, selepas Hamidin dan Kevin, siapa pula meriam tambatan yang akan dikhadamkan untuk bersuara menafikan pandangan Sulaiman.
Seronok juga ya! Melihat bagaimana bola sepak dibangunkan dengan wang dan wang serta wang. Semua orang bercakap soal wang. Oh! Ranking 170 Terbaik Dunia. Apakah jumlah angka yang banyak ini satu gangguan mental. Angka ranking yang banyak adalah fakta: Kita juga ada banyak wang! – MYNEWSHUB.CC