SIK – Rock melon dengan ukiran pelbagai watak animasi popular pada kulitnya? Pasti menarik!
Anda boleh membelinya dari ladang rock melon di Sungai Senam di sini. Tetapi anda perlu menempah corak atau coretannya terlebih dahulu.
Ini kerana, pelbagai corak timbul yang unik itu perlu diukir dengan teliti pada kulit rock melon sebelum buah itu matang.
Pemilik ladang, Datuk Mohamed Iqbal S. Habeeb Noohu yang mengusahakannya melalui syarikat beliau, Excel Agrotech Sdn Bhd, berharap keunikan buah itu akan menggalakkan orang ramai menempah rock melon dengan “corak peribadi” dari ladangnya.
“Ukiran-ukiran yang popular kini termasuklah watak-watak Doraemon dan Mickey Mouse selain nama seseorang, ucapan selamat dan perkataan seperti “love”.
“Mereka yang ingin beli rock melon dengan corak peribadi pada kulitnya perlu tempah sebulan lebih awal kerana kita memerlukan masa untuk pilih buah dan mengukirnya. Setiap rock melon yang diukir berharga RM50,” katanya.
Pengukir yang bertanggungjawab mencorakkan kulit rock melon itu ialah Samphan Intharungrueang, 42, yang lebih gemar dipanggil Men.
Menurut Men, rock melon hanya boleh diukir ketika berusia antara 40 dan 45 hari.
“Ukiran perlu dilakukan dengan berhati-hati dengan menggunakan peralatan khas bagi memastikan kulit serta isinya tidak rosak. Selepas diukir buah akan dibiarkan pada pokok dengan corak yang telah diukir akan terus membentuk pada kulit buah sehingga tiba waktu menuai.
“Setiap ukiran adalah berdasarkan permintaan pelanggan dan buah yang telah diukir boleh diambil pelanggan pada hari tuaian,” katanya.
Menurutnya lagi, minat untuk mengukir timbul selepas melihat ukiran sama sewaktu beliau berkunjung ke Thailand dan sehingga kini sudah lebih 50 biji rock melon yang diukirnya.
ASALNYA LADANG ANGGUR
Ladang rock melon kepunyaan Mohamed Iqbal itu asalnya ditanami anggur dan terpaksa ditutup pada 2016 berikutan proses yang rumit untuk mengekalkannya.
Mohamed Iqbal berkata bahawa beliau diberi dua pilihan ketika itu iaitu sama ada mahu menanam cili atau rock melon.
“Selepas dipertimbangkan dengan teliti, kami memutuskan untuk menanam rock melon di ladang itu.
“Kami menggunakan benih rock melon yang diimport dari Jepun dan menanamnya menggunakan teknik fertigasi, bermula dengan 5,000 pokok,” katanya kepada Bernama.
Rock melon itu ditanam pada Julai tahun lepas untuk menggantikan anggur dan kini mengeluarkan hasil yang memberangsangkan.
MENCECAH 200 TAN
Mohamed Iqbal berkata bahawa jumlah pengeluaran dalam tempoh Julai 2016 sehingga Julai tahun ini dianggarkan 200 tan.
Malah, pengeluaran berskala besar mula dilaksanakan Januari tahun ini dan kualiti buahnya semakin baik.
“Boleh dikatakan penanaman sepanjang tempoh enam bulan pertama adalah lebih kepada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan kini selepas lebih setahun, kami berjaya menghasilkan buah yang mencapai kualiti yang lebih baik, termasuklah rasanya yang lebih manis dan isinya yang lembut.
“Secara purata, setiap bulan antara 30,000 hingga 40,000 pokok ditanam secara berperingkat-peringkat, dengan anggaran pengeluaran kira-kira 60 tan hingga 70 tan sebulan,” tambah beliau.
Luas keseluruhan ladang adalah 16 hektar dengan 14.4 hektar di Sungai Senam dan 1.6 hektar di Tasik Beris. Bagaimanapun, rock melon kini hanya ditanam di ladang Sungai Senam.
Rock melon dituai empat kali setahun. Purata berat sebiji rock melon ialah 2 kg.
“Rock melon dituai ketika berusia antara 65 hingga 75 hari. Oleh kerana ladang itu menghasilkan hanya melon gred A, purata setiap rock melon antara 2kg dan 3kg.
“Tanaman ini memerlukan penjagaan yang rapi kerana ia mudah dijangkiti penyakit, jadi buat masa ini kami belum bersedia membuka ladang untuk lawatan, seperti ladang anggur sebelum ini,” kata Mohamed Iqbal.
MEMASARKAN ROCK MELON
Sementara itu, Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Sik, Rosli Muhammad Saad memberitahu Bernama bahawa FAMA bersedia membantu memasarkan rock melon yang dihasilkan di ladang Sungai Senam.
“Kedua-dua pihak sebenarnya sudah memeterai Perjanjian FRA (Forward Rate Agreement). FAMA mula membeli dan memasarkan rock melon itu sejak awal tahun ini.
“Pembelian adalah pada harga lantai RM2.70 sekilogram, dan jika harga pasaran meningkat, kita akan membeli mengikut harga pasaran,” katanya.
Rosli berkata, ladang itu adalah satu-satunya yang mengusahakan tanaman rock melon di daerah ini. FAMA telah membeli enam tan rock melon yang harganya mencecah RM22,000, dari Januari hingga Julai tahun ini.
“Kami hanya membeli buah yang menepati piawaian iaitu gred A dan B, dan setakat ini rock melon di ladang berkenaan menepati piawaian yang ditetapkan.
“Buah-buahan itu kemudiannya dihantar ke pusat-pusat operasi di seluruh negara, antaranya di pasar-pasar borong Selayang, Alor Setar, Langkawi, dan Bukit Mertajam,” katanya. – BERNAMA