SEPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan misi ketiga ‘Negaraku Prihatin, Misi Kemanusiaan untuk Rohingya’ yang membawa muatan 56.6 tan makanan dan bantuan bekalan keperluan kepada pelarian-pelarian Rohingya yang sedang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar.
Pesawat kargo Malaysia Airlines Berhad (MAB) jenis A330-300 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 2.45 petang dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong, Bangladesh pada 4.25 petang waktu tempatan pada hari yang sama.
Najib yang tiba pada 2.10 petang di MAB Kargo turut beramah mesra dengan kru yang akan terlibat dalam misi selajn memerika barangan muatan pesawat kargo diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali serta Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik.
Misi yang diselaras oleh iM4U dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk merealisasikan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia.
Muatan seberat 56.6 tan itu termasuk biskut, pad sanitari, sabun, tuala, berus gigi, lampin pakai buang, selimut dan beberapa barangan keperluan lain.
Pengagihan barangan keperluan akan diuruskan oleh iM4U mewakili Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan Bangladesh.
Sementara itu, Rudy yang juga mengetuai misi ketiga ini berkata iM4U menghantar dua misi sebelum ini iaitu pada 9 Sept dengan muatan 12 tan manakala penghantaran kedua dan membawa muatan 40 tan pada 7 Oktober.
“Misi kali ini adalah paling banyak barangan keperluan dan makanan yang disumbangkan.
“Kita menjangkakan akan menghantar lebih bantuan makanan dan keperluan barangan untuk diagihkan oleh kerajaan Bangladesh di dua kem paling ramai pelarian iaitu kem Ketupalong dan Kem Balukhali,” katanya.
Rudy menyarankan orang ramai menyokong inisiatif berkenaan sama ada menderma terus kepada Tabung Bantuan Bencana iM4U melalui akaun Maybank 564324605701 atau menderma barangan keperluan dan menghantarnya ke pusat pengumpulan yang ditentukan.
“Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan bantuan untuk menjayakan misi ini. Kami berharap misi kemanusiaan akan diteruskan kerana keadaan di kem-kem pelarian di sana amat teruk,” katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata MAB bangga dapat terlibat dalam misi bantuan itu dan komited untuk terus menyokong misi kemanusiaan bagi membantu pelarian Rohingya.
“Kami harap bantu ini akan mengurangkan penderitaan pelarian Rohingya. Kami akan terus menyokong semangat Negaraku Prihatin,” katanya. – BERNAMA