KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani secara langsung jenayah seksual ke atas kanak-kanak pada mesyuarat antarabangsa anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Beliau berkata Malaysia telah mencapai banyak kejayaan dalam usaha itu dalam tempoh yang agak singkat yang mencerminkan keperluan segera untuk mengakhiri penderaan, eksploitasi, pemerdagangan dan segala bentuk keganasan dan penyeksaan terhadap kanak-kanak.
“Masalah-masalah ini adalah nyata dan berleluasa di semua negara. Kita perlu menanganinya sekarang sebelum ia bertambah meruncing,”kata beliau dalam ucapan melalui rakaman video pada Mesyuarat Peringkat Tinggi untuk Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan untuk Kanak-kanak: Tindakan Kolektif dan Penyelesaian Inovatif.
Dalam usaha memerang jenayah itu di Malaysia, beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ogos 2016 telah mengambil tindakan tegas menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji semua isu berkaitan jenayah seksual ke atas kanak-kanak.
“Melalui komitmen politik penuh di peringkat tinggi, dalam masa enam bulan, Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak telah digubal dan dibentangkan di Parlimen pada Mac 2017,” kata Rosmah.
Beliau berkata melalui sokongan besar daripada masyarakat, rang undang-undang itu diluluskan dengan sebulat suara dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berkuatkuasa pada 10 Julai tahun ini.
Rosmah berkata kesungguhan usaha kerajaan Malaysia untuk menangani masalah itu juga terserlah melalui pelancaran Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak pada Jun 2017 bagi memastikan kes-kes diselesaikan dengan efektif dalam masa 12 bulan.
“Saya percaya ia adalah mahkamah pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Di bawah pengendalian hakim yang cukup berpengalaman… 248 daripada 293 kes yang didaftarkan atau 84.6 peratus telah diselesaikan dalam masa tiga bulan. Kerajaan bercadang untuk memperluaskan mahkamah khas ini ke negeri-negeri lain di negara ini,” kata beliau.
Rosmah berkata, perhatian khas juga diberikan bagi memastikan mangsa dan keluarga mereka tidak mengalami trauma fizikal, emosi dan psikologi yang teruk, serta mengatasi budaya kerja silo dan sistem kerja yang lapuk.