KOTA KINABALU – Sabah yakin masalah sekolah daif di negeri itu dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun seperti yang ditetapkan kerajaan pusat menerusi peruntukan khas RM1 bilion dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun yang turut bertanggungjawab terhadap pendidikan negeri, berkata peruntukan membaik pulih sekolah daif menggunakan Sistem Bangunan Berindustri itu cukup bermakna bagi Sabah.
“Masih banyak sekolah di Sabah yang berada dalam keadaan daif kerana ada yang dibina sebelum merdeka dan masih digunakan hingga sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Bajet 2018 itu bersama-sama Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri Sabah ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas peruntukan ini, yang dilihat akan dapat memacu kecemerlangan pendidikan di Sabah menerusi penyediaan kemudahan lebih baik khususnya di luar bandar.
“Harapan kita sekarang ini adalah untuk memastikan pelaksanaan (membaik pulih sekolah daif) dibuat dengan baik supaya peruntukan besar itu tidak disia-siakan,” katanya.
Turut hadir menyaksikan pembentangan bajet itu ialah dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen hari ini, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM2.5 bilion untuk membaiki hampir 2,000 sekolah daif di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, RM500 juta adalah untuk Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak menerima RM1 bilion masing-masing.
Sementara itu, Masidi turut mengalu-alukan pengumuman Tahun Melawat Malaysia 2020 serta pelbagai intensif untuk menggalakkan lagi perkembangan industri pelancongan termasuk di Sabah. – BERNAMA