KUALA LUMPUR – Sampel B atlet terjun wanita negara yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017), akan dibuka esok, kata Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Mae Chan.
Ketika dihubungi di sini, beliau bagaimanapun berkata tidak pasti bila keputusan sampel B itu akan dimakumkan kepada pihak persatuan.
Jika disabit kesalahan, atlet berkenaan berdepan hukuman penggantungan selama dua tahun, berbanding empat tahun sebelum ini memandangkan bahan terlarang yang digunakan jenis sibutramine dikategorikan sebagai kesalahan bukan serius.
Penerjun berkenaan juga masih boleh membuat rayuan penggantungan kurang daripada dua tahun tetapi perlu mengemukakan bukti bagaimana badan terlarang itu boleh berada di dalam badannya.
Dalam pada itu, Mae Chan menjelaskan sekiranya atlet tersebut didapati bersalah dan ingin mengemukakan rayuan, ASUM akan berbincang dan melihat tahap keseriusan bahan terlarang berkenaan.
“Kita akan berbincang lagi dan tengok sama ada ia bahan yang serius atau tidak. Jika atlet tersebut mahu buat rayuan, ia perlu dibuat kepada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA),” katanya.
Menurutnya ASUM hanya akan mendedahkan identiti penerjun itu selepas memperoleh keputusan sampel B.
Dalam laporan media hari ini, Timbalan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Nishel Kumar menjelaskan atlet terjun terbabit hanya digantung dua tahun berikutan bahan terlarang sibutramine adalah di bawah kategori S6 oleh kod Agensi Antidoping Dunia yang dikategorikan sebagai kesalahan bukan serius berkuat kuasa Januari lepas. – BERNAMA