SHAH ALAM – Wakil dari negeri Perak, Sara Amelia Muhammad Bernard, diumumkan sebagai juara program realiti, Clever Girl Malaysia musim kedua lewat Jumaat.
Graduan Asasi Psikologi Ekonomi dan Matematik berusia 25 tahun itu menewaskan tiga peserta lain pada pentas akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini.
Beliau memperoleh enam markah pada pusingan Penentuan Juara ketika menjawab soalan kategori sejarah, sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000.
Naib juara pula dimenangi oleh Fadila Zuraida Mohd Nor, 25, wakil dari Negeri Sembilan dengan mendapat empat markah yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000.
Sementara itu, peserta dari Perlis, Hani Nazrina Hanizar, 25, terpaksa akur apabila beliau tersingkir selepas tewas kepada Fadila Zuraida ketika dalam pusingan Cabaran Fizikal.
Rancangan musim kali ini pernah mencipta kontroversi penarikan secara mengejut wakil Pulau Pinang, Noor Syakirah Mohd Azam atau Kiera, 27, akhir bulan lalu yang menjadi misteri.
Ia juga menarik kritikan ramai netizen ekoran kehebatan wakil Selangor, Shazana Kamarzaman, 24, yang berjaya menjawab tepat sebelum sempat soalan itu habis dibaca oleh juri jemputan.
Namun Shazana dalam aksi pentas akhir kelihatan tidak berjaya menghabiskan saingannya apabila tersingkir di pusingan pertama setelah beliau meraih markah yang paling rendah.
Clever Girl Malaysia musim kedua yang dihoskan oleh pelakon, Alif Satar bersiaran di stesen TV3 selama 10 minggu mulai 4 Ogos lalu dengan menampilkan 13 peserta mewakili setiap negeri.
Pentas akhir turut menampilkan Alif membuat persembahan pembukaan dengan lagu Gemuruh, manakala Datuk Jalaluddin Hassan diundang sebagai kejutan bagi mengemukakan soalan kepada peserta. – Berita Harian