MASIH ingat dengan insiden suami seorang penyanyi yang didakwa mendera anak tirinya pada tahun lalu?
Bekas peserta program Akademi Fantasi 9, Azri Abdullah didakwa telah mendera anak tirinya iaitu Putri Nurul Huda dengan menyelupkan kedua-dua belah tangannya ke dalam air panas.
Baca: Salma Yakin Azri Tak Celup Tangan Anak Di Air Panas
Ibu Putri, Salma Asis, yang juga juara program 3 Juara menyatakan pihaknya masih menunggu keputusan mahkamah.
Pelantun suara bagi lagu Akhirnya Cinta itu turut meminta agar tiada mana-mana pihak menjatuhkan hukuman sebelum kata putus dibuat mahkamah.
“Masyarakat sekarang senang menghukum orang walaupun tidak tahu cerita sebenar-benarnya.
“Saya reda dan masih menunggu keputusan kes itu,” katanya dipetik Astro Gempak.
April lalu, Azri, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas tuduhan mendera anak tirinya di sebuah pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, Selangor pada 5 Mei 2016.
Dalam pada itu, single Akhirnya Cinta ciptaan komposer terkenal, Ajai antara 30 buah lagu yang berjaya ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 akan datang.
“Menjelang Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 saya ada mengikuti kelas vokal dengan Ajai sebagai persediaan.
“Soal rezeki saya berserah sahaja pada Allah,” ujarnya. Sementara itu, ini merupakan kali kedua dia bakal beraksi di pentas separuh akhir pertandingan itu.
Pada tahun 2011 lalu, lagu Aku Permata dipertaruhkan di peringkat sama namun, gagal ke peringkat akhir. – MYNEWSHUB.CC/SA