PANAS… Datuk Seri Shafie Apdal mempersoalkan kenapa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat dakwaan seleweng dana untuk projek luar bandar di Sabah sekarang.
Sebaliknya bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2009 hingga 2015 itu mempertikaikan kenapa siasatan suruhajaya tersebut tidak pula dilakukan ketika beliau masih berkhidmat sebagai anggota Kabinet dahulu.
“Jangan cakap semua syarikat ini milik saya… come on lah,” kata Shafie yang merupakan Presiden Parti Warisan Sabah, menggantikan nama Parti Pembangunan Warisan Sabah selepas ‘keluar’ daripada UMNO tahun lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna mendakwa bahawa konon tahap prestasinya semasa menjadi menteri Persekutuan adalah cemerlang malah mendapat pujian dari Perdana Menteri pada tahun 2009, 2012 dan 2013.
Ditemui wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang Jumaat, Shafie berkata setakat ini pihak SPRM belum lagi menghubunginya namun beliau sedia membantu siasatan kes korupsi itu jika dipanggil.
Shafie juga menafikan ada kaitan dengan syarikat-syarikat yang kini sedang disiasat SPRM dalam kes itu yang menyaksikan penyelewengan peruntukan dana RM180 juta berkaitan projek prasarana luar bandar di Sabah.
Setakat ini SPRM telah tahan reman tiga orang termasuk Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony dan ahli perniagaan Yu Sin Kong di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki hari ini mengesahkan, RM1.5 bilion daripada RM7.5 bilion dana yang disalurkan ke Sabah melalui sebuah kementerian diselewengkan dari 2009 hingga 2015.
Ini mencetuskan spekulasi ‘cakap politik kedai kopi’ kononnya kes tersebut bakal melibatkan Shafie sendiri yang kebetulan merupakan menteri bertanggungjawab pada ketika tempoh itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA