KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata beliau tidak bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor jika Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Katanya, segala usaha yang dilakukannya dan BN dalam membantu rakyat Selangor selama ini adalah kerana keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat negeri itu.
Beliau berkata seorang ahli politik atau pemimpin perlu mempunyai jiwa besar dalam memberi khidmat dan bukannya ghairah mengejar jawatan.
“Seorang pemimpin tidak seharusnya mempunyai cita-cita untuk memegang jawatan, ini boleh membuatkan mereka kecewa dan bila tidak terpilih boleh menyebabkan perpecahan parti.
“Jawatan terpulang pada pucuk pimpinan, keutamaan kita kini adalah untuk memenangi Selangor terlebih dahulu. Sesiapa sahaja yang layak boleh menjadi Menteri Besar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan kebakaran bersama penduduk Flat Taman Seri Aman, Petaling Jaya, dekat sini, hari ini.
Selangor diperintah kerajaan pakatan pembangkang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 2008.
Pada majlis itu, Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi membaik pulih dan menaik taraf sistem pencegahan kebakaran di flat tersebut.
Beliau turut mengesa Jawatankuasa dan Persatuan Penduduk perumahan strata untuk menubuhkan komuniti bomba masing-masing.
“Ini sebagai langkah persediaan tambahan bagi mengelak tragedi, tambahan bomba komuniti ini berbeza daripada bomba sukarela. Bomba sukarela perlu berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya. – BERNAMA