JOHOR BAHRU – Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad sedia berdepan dengan nama-nama besar dalam pakatan pembangkang yang mahu bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.
“Pada awal ramalan saya PRU ke-14 adalah yang paling mudah. Tetapi apabila sudah dengar macam-macam (nama) hendak datang ke Johor termasuk Khalid Abd Samad (Anggota Parlimen Shah Alam), jadi, saya ingat kalau semua sudah berminat pada Johor, saya pun berminat jugalah berdepan dengan mereka dalam apa pun kedudukan,” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan 4 All, di sini malam tadi.
Program itu turut disertai Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Shahrir yang juga Pengerusi Felda mengulas hasrat pembangkang mahu menjadikan Johor sebagai negeri barisan depan mereka semasa PRU14.
Beliau menegaskan tidak akan berundur sebaliknya bersedia menentang mana-mana calon besar pembangkang.
“Dengan Mahathirnya (Tun Dr Mahathir Mohamad)… dengan Anwarnya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan Muhyiddinnya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Kit Siang (Lim Kit Siang), semua hendak terus tumpu menjadikan Johor sebagai frontline state (negeri barisan depan), jadi takkanlah saya hendak undur,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata budaya bertanding secara berpindah- randah seperti dilakukan Lim bukanlah budaya yang dimahukan Barisan Nasional (BN).
“Frontline state bagi kita (BN) adalah semua negeri sebab kita hendak perintah Malaysia. Kita bukan soal hendak menggodak hanya satu negeri sahaja.
“Tidak bolehlah berpolitik macam Lim Kit Siang buat. Apa yang dia balas pada pengundi apabila dia berpindah? Dia tidak minat berkhidmat kepada pengundi dan biarlah rakyat menilai tindakan seperti ini,” katanya.
Mengenai program Dialog Perjuangan 4 All, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata ia akan diteruskan ke 15 kawasan yang sudah ditetapkan di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Sabah.
Beliau berkata program itu kemudian dirancang akan diadakan berterusan sehingga ke 100 kawasan Parlimen di seluruh negara.
“Sejak dilancarkan, kami berjaya meningkatkan momentum jumlah penonton sehingga belasan ribu yang mengikuti (siaran langsung di Facebook) dan ini perkembangan menggembirakan,” katanya. – BERNAMA