PULAU PINANG – DAP mendakwa konon program sempena Hari Kebangsaan yang menampilkan sejarah kemerdekaan negara adalah hasil perjuangan parti Melayu UMNO di sebuah sekolah di Putrajaya baru-baru ini ala program ‘cuci otak’.
Setiausaha Agungnya, Lim Kit Siang mendakwa, program yang menyaksikan pelajar mengibarkan bendera UMNO tidak sepatutnya diadakan kerana ia seolah-olah konon bertujuan ‘cuci otak’ pelajar sekolah rendah terbabit.
“Orang muda tidak lagi berminat dengan perjuangan parti UMNO,” dakwanya seperti dilaporkan menerusi laman Facebook beliau hari ini. Ia seolah-olah mahu murid lupa sejarah kemerdekaan negara yang diperjuangkan UMNO.
Ia mengulangi apa dilakukan pihak PAP yang memerintah Singapura selepas berpisah daripada Malaysia pada 1965 apabila mengubah fakta pulau itu daripada diasaskan Sang Nila Utama kepada ‘dibuka’ oleh Sir Stamford Raffles.
Begitu juga yang berlaku di Pulau Pinang apabila kerajaan negeri diterajui DAP cuba ‘padam’ sejarah sebenar pulau itu dibuka penduduk Melayu dan asalnya sebahagian Kedah kepada ditubuhkan oleh Kapten Francis Light pula.
Baca: Pembangkang Takut Murid Tahu Fakta Sejarah Merdeka
Juga: Bendera, Lagu UMNO Di Sekolah Bukan Politik
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (PSMKL) baru-baru ini bagaimanapun menjelaskan program yang diadakan di sekolah rendah tersebut adalah pertandingan berkenaan kemerdekaan.
Pengerusi PSMKL, Dr. Mohd. Emil Azril Bahari dipetik berkata, pertandingan itu berdasarkan fakta sejarah termasuk UMNO dan parti-parti politik lain yang berjuang untuk kemerdekaan Malaya dalam tempoh dari tahun 1946 hingga Merdeka pada tahun 1957.
Namun, katanya, penganjur pertandingan itu tidak terlibat tentang cara dan bagaimana sekolah dan pelajar bersaing daripada segi kreativiti dan ekpresi dalam usaha ke arah merealisasikan tema kemerdekaan.
“Dengan menghidupkan kembali detik-detik sejarah melalui drama dan persembahan, para pelajar bukan sahaja diberi pengalaman pembelajaran, tetapi membolehkan mereka menikmati proses pembelajaran sejarah dan peluang merasai pengalaman ketika proses tersebut berlangsung.
“Oleh itu, bendera UMNO yang dikibarkan oleh pelajar terbabit tidak harus dipetik di luar konteks,” kata Mohd. Emil. – MYNEWSHUB.CC