BEIJING – Sekolah antarabangsa Fairview International School (FIS), sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang menawarkan program ijazah sarjana muda antarabangsa (IB) akan membawa pelajarnya dalam ekspedisi sebanyak dua kali setahun bagi memberi mereka peluang menimba pengalaman dalam bidang kebudyaan, norma dan nilai yang diamalkan di dunia luar.
Ketua Ekspedisi FIS, Hakim Halim berkata pelajar FIS akan didedahkan dengan perjalanan seawal gred empat yang pelajarnya berumur antara lapan dan 10 tahun, bermula dengan perjalanan dalam negeri sebelum dibawa ke luar negara.
“Kami melakukan ini sejak 2009 dan ini merupakan tahun kelapan ekspedisi kami. Setiap gred pergi ke tempat berlainan seperti Phuket (Thailand), Danau Toba (Indonesia) dan bagi gred 11 (umur 15-17 tahun) seramai 163 pelajar dibawa ke Beijing.
“Mereka bermula dengan lawatan ke Port Dickson di EduResort kami, kemudian secara perlahan-lahan kami membawa mereka ke luar, jauh daripada rumah mereka. Adalah penting untuk mereka mempelajari dan mengalaminya sendiri bagi membangunkan kemahiran awal mereka,” katanya kepada Bernama semasa kunjungan FIS ke Beijing dari 24 hingga 28 Okt.
Bagi Ekspedisi 2017 ini, lebih daripada 1,000 pelajar dibawa mengembara ke lapan destinasi seperti Danau Toba dan Bali di Indonesia, Bandaraya Ho Chi Minh (Vietnam), Siem Reap (Kemboja), Phuket dan Bangkok di Thailand selain Wuhan dan Beijing di China.
FIS kini memiliki, mengurus lima kampus di bandar besar di Kuala Lumpur, Subang, Johor Bharu, Ipoh dan Pulau Pinang yang menawarkan program rendah, pertengahan dan diploma IB.
Hakim berkata tujuan utama ekspedisi selain membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir mereka, ia juga bagi memastikan pelajar dapat mengguna pakai apa yang telah mereka pelajari dalam kelas pada kehidupan sebenar.
“Kita akan lebih mudah memahami sesuatu konteks itu melalui imaginasi atau praktikal. Jadi menerusi lawatan ini pelajar akan lebih faham secara mendalam apa yang dipelajari di sekolah merangkumi semua subjek dan topik.
“Pelajar akan juga mengikuti program kemasyarakatan sosial semasa ekspedisi yang membolehkan pelajar untuk berinterkasi dengan masyarakat setempat. Dari sana mereka akan membangunkan kemahiran sosial dan kepimpinan,” katanya.
Selain itu ekspedisi di Beijing yang bertemakan ‘Masa Silam, Masa Sekarang dan Masa Depan’ memberi pendedahan kepada pelajar untuk memahami secara mendalam tentang tamadun masyarakat China sejak zaman dahulu hingga sekarang.
Hakim berkata FIS mahu menghasilkan pelajar yang seimbang dalam akademik dan mempunyai nilai.
“Individu itu perlu memahami masyarakat luar dari segi kemanusiaan, boleh membantu yang lain, luar daripada zon selesa mereka dan boleh memahami gaya hidup masyarakat lain,” katanya yang bertugas sebagai guru di FIS sejak 2009.
Bagi Muhammad Noor Syafiq Mohd Zamri, 17, ekspedisi ini membolehkannya untuk mengguna apa yang dia telah pelajari dalam kelas dan melakukan perkara yang jarang d ilakukannya sebelum ini.
“Dua kemahiran utama yang saya gunakan di Bejing ialah komunikasi dan mengambil risiko kerana semasa satu kelas yang sertai, saya berpeluang bercakap dan berdebat dengan rakan-rakan kelas saya,” katanya.
Azra Azzahra Nordarzy, 15, pula mendapati banyak persamaan boleh didapati antara Malaysia dan China seperti arkitektur bangunan dan tokong.
“Di Malaysia bila kita melepasi kawasan masyarakat Cina, kita akan melihat rekabentuk arkitektur yang sama seperti di China. Ia mungkin lebih terperinci kerana mereka memiliki sejarah yang lebih mendalam di sini,” katanya. – BERNAMA