KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal anak lima dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan hari ini atas empat pertuduhan menyembunyi atau memindahkan wang berjumlah RM14,000 milik seorang wanita warga Korea bulan lepas.
Majistret Haslinda A.Raof dan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhi hukuman itu ke atas Rose Suraya Ideris, 53, yang tidak bekerja, selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan di Mahkamah Majistret berasingan di sini.
Bagi kesemua pertuduhan, Rose Suraya didakwa dengan curangnya menyembunyi atau memindahkan harta bukan miliknya melalui empat transaksi ke dalam akaun miliknya yang menyebabkan mangsa, seorang kerani berusia 45 tahun, mengalami kerugian berjumlah RM14,000.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah memerintahkan dia dipenjara lapan bulan, pertuduhan kedua tujuh bulan, pertuduhan ketiga enam bulan dan pertuduhan keempat sembilan bulan secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap 26 Ogos lepas.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Wawasan Ampang 2/2, Bandar Baru Ampang dan sebuah lagi cawangan di Taman Industri Lembah Jaya, Ampang, di sini antara 10.40 pagi dan 3.50 petang, pada 8 Sept lepas.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, mangsa yang hampir tiga tahun tinggal di Malaysia telah berkenalan dengan seorang lelaki dari United Kingdom melalui laman Facebook dan lelaki itu sering menyatakan hasrat untuk memberikan mangsa hadiah yang bernilai dari negaranya.
Pada 8 Sept 2016, mangsa telah menerima panggilan telefon dari seorang wanita yang mendakwa dari Ideris Kargo dan memberitahu lelaki itu telah menghantar hadiah kepada mangsa melalui khidmat kurier syarikat itu, namun mangsa perlu membayar RM14,000 sebagai cukai kerajaan.
Mangsa kemudian telah membuat bayaran melalui empat transaksi berasingan ke dalam nombor akaun yang diberi namun pihak syarikat kargo itu sekali lagi meminta RM70,000 juga sebagai cukai menyebabkan mangsa berasa curiga dan membuat laporan polis.
Hasil siasatan polis mendapati nombor akaun yang diberi syarikat kurier itu adalah nombor akaun milik tertuduh dan mangsa telah memasukkan wangnya ke dalam akaun tersebut.
Rose Suraya tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak dan Norhashimah Hashim. – BERNAMA