KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan Institut Penyelidikan Sosioekonomi (SERI) di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan berperanan mengkaji dan menilai keberkesanan dasar serta pelaksanaan program dan projek pembangunan negara terhadap rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata selain itu, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM) pula akan dinaik taraf sebagai institusi kebangsaan yang akan menyelaras pendidikan sosioekonomi peringkat negara dan mewujudkan indeks pembangunan sosial negara.
“Sebagai analoginya, jika Unit Perancang Ekonomi (EPU) berperanan seumpama ‘the brain’ (nadi) dalam menggubal dasar ekonomi, manakala Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai ‘hands and legs’ (kaki dan tangan) dalam pemantauan projek, maka KITA dan SERI akan berfungsi sebagai ‘the soul or the heart’ (jiwa atau jantung).
“Ia mencakupi aspek kerohanian dan jiwa, nilai-nilai murni serta program berbudaya tinggi untuk membina jati diri generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi menangani gejala sosial,” kata Najib semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, peruntukan yang sewajarnya akan disediakan kerajaan untuk kedua-dua institut berkenaan.
Katanya, kerajaan juga sentiasa menghargai peranan badan-badan bukan kerajaan dan akan terus bekerjasama dengan mereka dalam menangani masalah sosial. – BERNAMA