ARAU – Lebih 500 orang penduduk di kawasan Tambun Tulang, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis dan skuad Sayang Wanita UMNO menyertai program My Beautiful Neigbourhood (MyBN) peringkat negeri Perlis di sini hari ini.
Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Anggota Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Dataran Masjid Ibnu Taimiyyah, Tambun Tulang.
Pelbagai aktiviti diadakan bersempena program itu, antaranya, mengacau bubur asyura, mengecat halaman masjid, menanam pokok dan gotong-royong.
Shahidan turut menyampaikan sumbangan masing-masing RM1,000 kepada seorang jurulatih atlet paralimpik dan empat orang atlet olahraga paralimpik yang beraksi di Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini, hasil sumbangan ketua UMNO dari seluruh cawangan yang dibuat melalui media sosial.
Mereka ialah jurulatih Affizam Amdan dan empat orang atlet iaitu Mohamad Erwan Mohd Hasnoor (lompat jauh,emas/100m T38/gangsa), Abdul Halim Badruddin (400m&800m T38/gangsa), Muhammad Alif Malek (100m T36/gangsa) dan Feelzah Abdullah (melempar cakera dan melontar peluru F57/tempat ke-4 dan ke-5). – BERNAMA