SEJAK comebacknya dua tahun lalu melalui pembabitannya dalam program realiti Gegar Vaganza 2 (GV2), semakin ramai yang mula melihat bakat besar yang ada pada Siti Nordiana.
Malah, penyanyi yang mesra disapa Nana ini tidak menjadikan statusnya sebagai ibu tunggal sebagai penghalang karier seninya untuk berkembang kerana dia akan menerima sahaja mana-mana tawaran termasuklah untuk berlakon.
Dan apabila nama sedang meningkat naik semula, pasti ramai jejaka yang mahu mengetuk pintu hatinya.
Dengar-dengarnya ada yang cemburu melihat penyanyi 32 tahun ini berkawan rapat dengan artis-artis lelaki yang masih bujang seperti Zoey Rahman, Fikry Ibrahim dan juga Khai Bahar.
Namun, Nana menyangkal dakwaan yang katanya dia menjadi rebutan para jejaka termasuklah yang bergelar artis.
Menurutnya, hubungan rapat yang terjalin itu atas dasar persahabatan semata-mata.
“Apa yang pasti peminat saya memang tahu setiap selebriti lelaki bujang yang rajin komen di akaun Instagram (IG) saya ialah kawan baik yang rapat dengan saya.
“Apatah lagi, saya sendiri memang selesa berkawan rapat dengan mereka (selebriti lelaki) itu memandangkan saya tidak ramai kawan perempuan,” katanya dipetik Harian Metro.
Menurut pelantun suara bagi lagu Terus Mencintai ini, dia mengakui lebih selesa bersahabat dengan mereka dan menejelaskan tiada sebarang hubungan istimewa yang terjalin.
“Urusan jodoh saya tidak tahu tetapi buat masa sekarang untuk saya sendiri memang selesa berkawan saja.
“Ditambah lagi, apa yang boleh membuatkan saya, Zoey, Fikry dan Khai selesa jadi kawan ialah kami satu kepala, suka bergurau dan tidak lupa sentiasa menyokong karier masing-masing,€” katanya.
Walaupun ada desas desus yang mengatakan Nana menjadi rebutan, namun peminatnya masih setia, memahami dan sentiada memberi sokongan kepada diri dan rakan-rakan lelakinya itu.
“Sebenarnya, saya berasa sangat bersyukur dan puas hati kerana peminat faham. Saya tidak mahu mereka (peminat) salah sangka.
“Lagipun, sudah lapan tahun menjadi ibu tunggal membuatkan saya sangat berdikari dan kuat bekerja demi rezeki untuk anak serta keluarga. Itu sudah buat saya gembira,” ujarnya.
Mungkin, Nana dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan mereka kerana sering dilihat berbalas komen di Instagram.
Lagipun, mereka pernah bergandingan bersama sama ada nyanyian duet ataupun menjadi hero heroin dalam telefilem. Kini, dengar-dengarnya pula Nana akan berduat dengan Khai Bahar menerusi satu single baharu.
Dalam pada itu, Nana bertekad untuk fokus kepada karier seninya dengan menggunkan peluang kedua yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
Dalam perkembangan sama, lagunya, Terus Mencintai bakal berentap dengan 29 lagu lagi di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 32 pada 5 November ini. All the best buat Nana dalam menggapai impian dan cita-citanya! – MYNEWSHUB.CC/SA