KUALA LUMPUR – Hanya S. Sivasangari meneruskan cabaran wanita negara dalam pusingan separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.
Sebagai pemain senior Sivasangari tidak berdepan masalah menewaskan rakan sepasukannya Aifa Azman 11-9, 11-4, 11-3 pada perlawanan suku akhir hari ini yang berlangsung di gelanggang Arena Nicol David di sini.
Mengenai perlawanan itu, Sivasangari berkata beliau tetap menerima tentangan sengit daripada pemain junior, Aifa Azman terutamanya pada set pertama.
Sivasangari akan bertemu Satomi Watanabe dari Jepun yang menewaskan seorang lagi wakil negara, Rachel Arnold yang juga pemain pilihan kedua kejohanan dengan 11-4, 11-6, 11-7.
Untuk rekod pertemuan Sivasangari pernah menewaskan Watanabe sebanyak empat kali dalam lima pertemuan tahun ini.
Sivasangari berkata peluang untuk ke final pada kejohanan Terbuka Malaysia lebih terbuka kerana kebanyakan pemain yang bersaing adalah seangkatan dengannya termasuk pemain pilihan utama iaitu Zeina Mickawy dari Mesir.
“Semua pemain di sini akan menghadapi tekanan yang sama kerana saya, Satomi dan Zeina adalah satu kumpulan. Cuma saya bermain di tempat sendiri mungkin sedikit memberikan kelebihan…tetapi bukan mudah, saya harap akan beraksi di final,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Kali terakhir wakil wanita negara memenangi Terbuka Malaysia menerusi Datuk Nicol David pada 2013. – BERNAMA