Monday, January 20, 2025

Creating liberating content

JDT Harap TMJ Tidak...

KUALA LUMPUR - Presiden Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Tun...

Marion Caunter, Suami Timang...

Tahniah diucapkan buat bekas hos program E News Asia yang juga ikon fesyen Malaysia,...

5 Sebab Krisis Air...

KEGAGALAN dan kedegilan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin...

Dewan Rakyat: Malaysia Belum...

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)...

Sukuk Hijau Malaysia Dijangka Miliki Prospek Baik

KUALA LUMPUR – Sukuk hijau di Malaysia dijangka mempunyai prospek yang lebih baik dalam masa terdekat dengan sokongan daripada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Bhd, Datuk Chung Chee Leong.

Chung berkata memandangkan bank-bank di negara ini mula menumpukan kepada projek-projek yang berkaitan dengan persekitaran hijau, pemanasan global dan kelestarian alam sekitar, langkah ini dapat membantu memacu trend sukuk hijau.
“Misalnya, lebih ramai pemaju membina rumah yang dapat menjimatkan tenaga dengan menggunakan tenaga solar.

“Oleh itu, saya berpendapat, akan terdapat tarikan yang lebih baik bagi sukuk hijau dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama di luar Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2017 di sini hari ini.

Sukuk hijau merupakan pelaburan patuh Syariah dalam tenaga boleh baharu dan aset alam sekitar yang lain, dan hasil digunakan untuk membiayai pembinaan, membiayai semula hutang pembinaan, atau membiayai pembayaran subsidi hijau yang diberi kerajaan.

Pada Julai tahun ini, Malaysia menerbitkan sukuk hijau pertama di dunia – RM250 juta Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab – untuk membiayai pembinaan projek solar di Kudat, Sabah.

Chung berkata Malaysia mempunyai ekosistem yang ideal untuk membantu pertumbuhan sukuk hijau berikutan asas pelabur sukuk lebih besar berbanding asas pelabur konvensional.

“Susulan pelabur konvensional boleh membeli sukuk, tetapi pelabur sukuk tidak boleh melakukan sebaliknya, ini menjadikan penerbit percaya bahawa sukuk merupakan pilihan yang lebih baik untuk mereka,” katanya.

Mengenai cabaran yang dihadapi oleh penerbit sukuk, Chung berkata, dasar monetari yang ketat oleh bank pusat AS kekal sebagai antara cabaran terbesar berikutan ia dapat mewujudkan turun naik dari segi hasil dan harga.

“Bagi perspektif kami, kami menerbit pada margin, bermakna kami menerbit pada X peratus, menggunakan dana untuk memberi kepada orang lain pada Y peratus dan ia melancarkannya.

“Tetapi bagi penerbit am, ia tertakluk kepada peningkatan, dan itu sebabnya ramai penerbit menerbitkan bon atau sukuk sebelum kadar (faedah) sebenar diumumkan,” katanya.


Bagi pelabur, Chung berkata, ia akan keluar daripada pasaran pesat membangun dan beralih kepada pasaran AS berikutan mereka menjangka hasil dolar AS akan meningkat.

Pada awal sesi, Naib Presiden Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd, Syed Alwi Mohd Sultan, berkata bon hijau boleh menjadi ancaman terbesar bagi industri sukuk.

“Industri bon hijau akan mengatasi sukuk hijau, susulan antara 2007-2012, industri bon hijau hanya mengumpul US$20-US$30 bilion (US$1 = RM4.22) setahun manakala sukuk meraih US$100 bilion setahun.

“Bagaimanapun, pada 2013 dan seterusnya, industri bon hijau mengambil alih dan menerbitkan US$80 bilion pada 2016, berbanding sukuk yang hanya menerbitkan US$78 bilion pada tahun lepas,” katanya, sambil menambah bagi separuh pertama tahun ini, terbitan sukuk terkumpul sebanyak US$56 bilion manakala bon hijau mencapai US$60 bilion.

“Apabila korporat mahu mengumpul dana untuk sebab-sebab kelestarian, mereka akan beralih kepada bon hijau berbanding sukuk?” tanya beliau.

Mengulas mengenai kebimbangan itu, Chung berkata, pasaran bon sentiasa mengumpul dana yang lebih besar berbanding sukuk berikutan sukuk hanya sebahagian daripada jumlah pasaran bon, dan bon mempunyai sejarah yang lebih lama berbanding sukuk.

“Bagaimanapun bagi Malaysia, antara kelebihan terbesar kita adalah kita mempunyai pelabur dari Singapura, Hong Kong dan UK yang berminat dalam sukuk hijau,” katanya.

Secara keseluruhannya, katanya, pendidikan dan perkongsian pengetahuan kekal menjadi kunci untuk memacu bukan hanya sukuk hijau sahaja, tetapi sukuk secara keseluruhan. – BERNAMA

Kategori